TOKYO: Jepun mengeluarkan nasihat berkaitan tsunami untuk beberapa kawasan pantai susulan beberapa siri gempa bumi cetek di kepulauan Izu.
Bagaimanapun, pakar seismologi mengatakan tiada laporan kerosakan kesan daripada ombak kecil akibat gempa.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), gelombang tsunami yang dianggarkan setinggi 60 sentimeter melanda pulau Hachijojima, kira-kira 280 kilometer di selatan Tokyo, manakala di barat wilayah Kochi dan selatan wilayah Miyazaki masing-masing merekodkan 40 sentimeter dan 20 sentimeter.
Agensi itu juga mengesahkan tiada kerosakan dilaporkan, namun pihak berkuasa bandar Tateyama di Chiba dekat Tokyo, menggesa penduduk yang mendiami kawasan pantai supaya berpindah susulan nasihat itu.
Pegawai JMA, Toshihiro Shimoyam turut memberi amaran keadaan itu berbahaya di laut dan kawasan berhampiran pantai.
“Jauhi lautan dan pantai. JMA masih lagi sedang mengenal pasti puncanya walaupun gempa bumi mencetuskan gelombang tsunami,” katanya pada sidang media.
Dalam pada itu, Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), turut melaporkan satu siri gempa bumi cetek di pulau Izu, dengan gegaran terkuat pada 5.4 skala Richter dicatatkan jam 5.17 pagi waktu tempatan.