TOKYO: Dua pesawat Angkatan Pertahanan Diri Udara (ASDF) Jepun berlepas dari negara itu pada Khamis sebagai persediaan untuk kemungkinan evakuasi warga Jepun dari Lubnan ketika ketegangan semakin memuncak antara Israel dan kumpulan Hizbullah yang disokong Iran, lapor Agensi Berita Kyodo.
Kementerian Pertahanan Jepun menyatakan bahawa sebanyak dua pesawat pengangkut C-2 berlepas dari Pangkalan Udara Miho di wilayah barat Tottori menuju Jordan dan Greece untuk bersiap sedia.
Menurut Kementerian Luar, kira-kira 50 rakyat Jepun berada di Lubnan.
Kementerian Pertahanan membentuk unit petugas bersama yang terdiri daripada 500 anggota selepas Menteri Pertahanan ketika itu, Minoru Kihara mengarahkan ASDF pada 27 September untuk menghantar pesawat berkenaan.
Ia telah meminta kebenaran negara lain untuk terbang melalui ruang udara mereka.
Situasi di Lubnan semakin meruncing dengan cepat ketika tentera Israel pada Selasa mengumumkan bahawa mereka telah memulakan operasi darat “terhad, setempat” terhadap Hizbullah yang berpangkalan di Lubnan dalam pencerobohan darat pertama ke atas Lubnan sejak 2006.
Perkembangan itu susulan letupan alat kelui dan walkie-talkie yang menyasarkan anggota Hizbullah serta serangan udara Israel ke atas ibu pejabat kumpulan itu di ibu negara Lubnan, Beirut yang turut menyebabkan ketua mereka, Hassan Nasrallah terbunuh.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke atas Israel pada Selasa.Jepun yang sangat bergantung kepada eksport minyak mentah dari Timur Tengah, secara tradisinya mengamalkan strategi diplomasi seimbang antara negara Arab dan Israel yang disokong sekutunya, Amerika Syarikat.
Setakat ini, Jepun telah melaksanakan lapan operasi untuk membawa pulang rakyatnya dari luar negara, termasuk dua kali dari Israel pada Oktober 2023.- BERNAMA-KYODO
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.