![](https://media.buletintv3.my/2025/02/jepun.jpg)
JEPUN: Angin kencang dan salji tebal semakin meningkat di banyak kawasan di Jepun.
Agensi Meteorologi Jepun mendedahkan bahawa corak tekanan musim sejuk semakin kuat dan membawa taburan salji ke kawasan yang lebih luas.
Dalam tempoh tiga jam sehingga jam 4 pagi Khamis, salji turun sebanyak 16 sentimeter di daerah Nagataki dan Yuzawa. Di daerah Fujiwara salji tebal setinggi 15 sentimeter direkodkan.
Jumlah salji terkumpul pada jam 4 pagi ialah 2.91 meter di wilayah Niigata, 2.89 meter di daerah Oisawa dan 2.53 meter di wilayah Fukushima. Kesemuanya melebihi paras normal.
Salji tebal dijangka turun di kawasan sepanjang pantai Laut Jepun dari bahagian utara hingga ke barat Jepun. Kawasan rata di sepanjang pantai Pasifik, yang jarang mengalami salji, juga dijangka mengalami salji.
Laut dijangka bergelora di beberapa kawasan dengan ombak tinggi diramalkan di seluruh negara.
Pihak berkuasa menggesa penduduk agar berwaspada terhadap salji tebal dan ribut salji yang boleh menjejaskan pengangkutan dan ombak tinggi.
Penduduk juga dinasihatkan bersedia menghadapi kemungkinan gangguan bekalan elektrik serta berwaspada terhadap pokok tumbang, runtuhan salji, panahan petir, dan puting beliung.
Luruan udara sejuk yang kuat dijangka berterusan secara berselang-seli sehingga Ahad ini.
Pihak berkuasa cuaca dan pengangkutan menasihatkan penduduk di kawasan yang dijangka mengalami salji tebal supaya mengelakkan perjalanan yang tidak perlu. – NHK
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.