comscore
Tumpuan :
Dunia

Jenazah Presiden Iran dan mangsa lain dibawa ke Tabriz

Helikopter membawa Presiden Iran, Ebrahim Raisi, dirakam ketika berlepas berhampiran sempadan Iran-Azerbaijan, sebelum dilaporkan terhempas. – FOTO: Reuters

TEHRAN: Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRCS), Pir-Hossein Kolivand mengumumkan, jenazah Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan mangsa nahas helikopter  yang lain sedang dibawa ke Tabriz, barat laut Iran.

Operasi mencari dan menyelamat berskala besar berakhir apabila jenazah dihantar ke sebuah lokasi di wilayah Azerbaijan Timur, tempat persemadian para syuhada Tabriz.

Ia dilapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA) yang memetik kenyataan Kolivand dalam siaran televisyen pada Isnin.

Ebrahim Raisi, Presiden kelapan Iran, maut selepas helikopter yang membawa beliau  dan rombongan terhempas di wilayah Varzaqan di Azerbaijan Timur pada Ahad.

Mengulas mengenai situasi terkini operasi mencari dan menyelamat, Kolivand berkata pasukan pakar IRCS berada di kawasan itu sejak Ahad, namun cuaca buruk dan kabus tebal menghalang proses pencarian.

Akhirnya, pada awal pagi Isnin pasukan penyelamat berjaya menemukan lokasi nahas, katanya.

Raisi dalam penerbangan pulang bersama Menteri Luar, Hossein Amirabdollahian dan beberapa yang lain daripada satu majlis perasmian empangan di sempadan Iran dengan Azerbaijan apabila helikopter dinaiki mereka terhempas semasa hendak mendarat di wilayah Varzaqan pada Ahad.- BERNAMA-IRNA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini