ARAB SAUDI: Jemaah haji dari seluruh dunia hari ini melengkapkan satu lagi rukun ibadah itu, iaitu melontar jamrah.Bermula sejak Subuh lagi, ratusan ribu jemaah memulakan ibadah melontar di jamrah qubra untuk tahallul awal.
Jemaah memulakan perjalanan ke Mina, berdekatan Makkah tatkala cuaca kini mencecah 48 darjah selsius sebaik mereka selesai berwukuf di Arafah.
Ia kemudiannya bakal disusuli dengan ibadah melontar di ketiga-tiga jamrah Wusto, Sughro dan Qubra pada hari-hari tasyriq.
Lebih 1.8 juta jemaah majoritinya dari luar Saudi menunaikan ibadah haji pertama kali tahun ini tanpa sekatan sejak Covid.
Angka itu yang diumumkan pihak berkuasa Saudi tidak menepati sasaran dan jumlah yang sama pada 2019 iaitu 2.5 juta orang.
Haji adalah sumber pendapatan utama bagi kerajaan Arab Saudi selain minyak.
Rukun melontar jamrah menandakan bermulanya cuti Aidil Adha selama 3 hari di tanah Arab itu yang diraikan umat Islam dengan mengorbankan haiwan ternakan.
Kemudian, jemaah bakal kembali ke Makkah untuk mengerjakan tawaf haji dan saie.