Tumpuan :
Dunia

Jasad Haniyeh dikebumikan di Qatar

DOHA: Qatar mengadakan upacara pengebumian hari ini untuk pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh selepas pembunuhannya dalam serangan yang dituduh dilakukan Israel, sekali gus dikhuatiri menimbulkan ketegangan serantau.

Haniyeh, ketua biro politik kumpulan pejuang Palestin itu menetap di Doha bersama-sama dengan anggota Hamas lain.

Jasadnya akan dikebumikan di tanah perkuburan di Lusail, utara ibu negara Qatar, selepas solat jenazah di masjid Imam Muhammad bin Abdul Wahhab.

Hamas berkata, pemimpin Arab dan Islam serta wakil kumpulan pejuang Palestin lain serta orang ramai akan menghadiri acara itu.

Pengawal Revolusi Iran memaklumkan Haniyeh dan seorang pengawal peribadinya terbunuh dalam serangan sebelum subuh ke atas penginapan mereka di Tehran awal Rabu.

Haniyeh mengunjungi Iran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden barunya, Masoud Pezeshkian pada Selasa.

Pembunuhan pemimpin Hamas itu berlaku hanya beberapa jam selepas Israel menyerang selatan Beirut, membunuh komander tentera Hizbullah, Fuad Shukr.

Satu upacara juga diadakan di Tehran pada Khamis, dimana orang ramai berkabung memberi penghormatan kepada Haniyeh, dimana Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei memimpin doa untuknya.

Turkiye dan Pakistan mengumumkan hari berkabung pada Jumaat sebagai penghormatan atas pemergian Haniyeh, sementara Hamas menggalakkan perarakan sebagai tandan kemarahan atas kematian pemimpinnya itu.

Perarakan selepas solat Jumaat diadakan bagi tujuan memprotes pembunuhan Haniyeh serta perang yang berterusan di Semenanjung Gaza. Keranda membawa Haniyeh tiba di Doha pada petang Khamis.

Qatar menjadi tuan rumah kepada biro politik Hamas itu dengan restu Amerika Syarikat (AS) sejak 2012 berikutan penutupan pejabat kumpulan Palestin itu di Damsyik.

Haniyeh memainkan peranan penting dalam rundingan gencatan senjata ke atas Gaza, berunding dengan pengantara Qatar, yang memimpin rundingan di belakang tabir selama berbulan-bulan bersama Mesir dan AS.

Komuniti antarabangsa menuntut gencatan senjata segera di Gaza, namun Haniyeh sebelum ini mendakwa Israel cuba menghalangnya.

Israel sebaliknya memberi amaran kepada musuhnya pada Khamis bahawa mereka akan membayar harga yang sangat tinggi untuk sebarang pencerobohan.

"Israel berada pada tahap persiapan sangat tinggi untuk sebarang senario, baik pertahanan mahupun serangan.

"Mereka yang menyerang kami, kami akan menyerang sebagai balasan," kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan. – AGENSI

Loading...
Terkini