Tumpuan :
Dunia

Jangkitan HIV tinggi dalam kalangan wanita muda, remaja – UNICEF

NEW YORK: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran mengenai kadar jangkitan HIV baharu yang tinggi dalam kalangan wanita muda dan remaja perempuan, sambil menekankan kekurangan akses kepada pencegahan dan rawatan.

Dalam laporan menjelang Hari AIDS Sedunia pada Sabtu, UNICEF melaporkan bahawa 96,000 remaja perempuan dan 41,000 remaja lelaki berumur 15 hingga 19 tahun dijangkiti HIV pada 2023, menjadikan tujuh daripada 10 jangkitan baharu dalam kalangan remaja adalah perempuan.

Di sub-Sahara Afrika, sembilan daripada 10 jangkitan HIV baharu dalam kalangan remaja berumur 15 hingga 19 tahun melibatkan remaja perempuan, berdasarkan data terkini yang tersedia.

“Kanak-kanak dan remaja tidak sepenuhnya mendapat manfaat daripada peningkatan akses kepada rawatan dan perkhidmatan pencegahan.

“Namun, kanak-kanak yang hidup dengan HIV mesti diberi keutamaan dalam pelaburan sumber dan usaha untuk memperluas rawatan, termasuk pengembangan teknologi ujian yang inovatif,” kata Pengarah Bersekutu UNICEF bagi HIV/AIDS, Anurita Bains.

Sebanyak 77 peratus orang dewasa yang hidup dengan HIV mempunyai akses kepada terapi antiretroviral (ART), tetapi hanya 57 peratus kanak-kanak berumur 14 tahun ke bawah, dan 65 peratus remaja berumur 15 hingga 19 tahun yang dapat memperoleh ubat penyelamat nyawa.

Kanak-kanak berumur 14 tahun ke bawah hanya merangkumi tiga peratus daripada penduduk yang hidup dengan HIV, tetapi menyumbang 12 peratus iaitu 76,000 daripada kematian berkaitan AIDS pada 2023.

Menurut laporan UNAIDS, kira-kira 1.3 juta orang dijangkiti HIV pada 2023, tiga kali ganda lebih tinggi daripada yang diperlukan untuk mencapai matlamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menamatkan AIDS sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030.

Sebanyak 630,000 orang meninggal dunia akibat penyakit berkaitan AIDS tahun lalu, angka terendah sejak puncaknya iaitu 2.1 juta kematian pada 2004, menurut laporan tersebut menjelang Hari AIDS Sedunia pada Ahad.

Sebahagian besar kemajuan ini dikaitkan dengan rawatan antiretroviral yang dapat mengurangkan jumlah virus dalam darah pesakit.

Daripada hampir 40 juta orang yang hidup dengan HIV di seluruh dunia, kira-kira 9.3 juta masih belum menerima rawatan, menurut laporan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini