Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] Jambatan Baltimore runtuh dilanggar kapal kargo, enam masih hilang

 

WASHINGTON: Struktur jambatan utama di Baltimore yang runtuh semalam akibat dilanggar sebuah kapal kargo menyaksikan sekurang-kurangnya enam orang masih hilang dalam kejadian itu.

Setakat semalam, dua orang berjaya diselamatkan.

Mengikut laporan agensi berita antarabangsa yang memetik sumber pihak berkuasa, mangsa yang hilang itu adalah pekerja pembinaan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata, keadaan mangsa yang belum ditemui berkemungkinan dianggap sudah meninggal dunia.

“Pihak berkuasa berkata sekurang-kurangnya enam orang daripada kru pembinaan masih hilang dan dianggap mati,” kata laporan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, mengesahkan tiada bukti menunjukkan kejadian itu disengajakan atau dilakukan dengan niat.

Biden berkata, ia hasil maklumat diterimanya yang mencadangkan bahawa tidak ada bukti mensabitkan situasi itu.

Setiausaha Dalam Negeri AS, Alejandro Mayorkas, turut mendedahkan bahawa tiada tanda-tanda pelanggaran jambatan oleh kapal kargo Dali yang berukuran 290 meter itu adalah tindakan yang disengajakan.

Ketika pelanggaran berlaku, kapal berkenaan dikendalikan oleh seorang kapten dan bukannya anak kapal.

Perkara itu disahkan Setiausaha Pengangkutan Maryland, Paul Wiedefeld, yang menjelaskan individu yang mengendalikan kapal kargo ketika itu terlatih untuk mengelak kemalangan seperti yang berlaku kelmarin.

Menurut pihak berkuasa, kapal kargo itu membawa dua kapten dan 22 anak kapal.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dialami mereka.

Kapal kargo dikenali sebagai Dali itu disewakan kepada Maersk, syarikat perkapalan terkemuka, dalam perjalanan dari Baltimore ke Colombo, Sri Lanka. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini