NEW YORK: Israel dilaporkan menolak lebih 140 permohonan PBB untuk memasuki utara Gaza dalam tempoh dua bulan lalu.
Menurut laporan Agensi Berita Palestin (WAFA), kenyataan itu dibuat oleh seorang pegawai kanan Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan di Wilayah Pendudukan (OCHA), Jonathan Whittall, pada Selasa.
Beliau menjelaskan tentera Israel terus melancarkan serangan udara di kawasan Jabalia dan sekitarnya, yang turut menyasarkan hospital serta petugas kesihatan.
Menurutnya lagi, PBB telah berusaha mendapatkan akses ke utara Gaza sejak dua bulan lalu, namun permohonan itu telah ditolak lebih 140 kali oleh pihak berkuasa Israel.
Whittall turut memaklumkan keluarga Palestin di kawasan Jabalia hidup di bawah kepungan Israel.
Pegawai PBB itu menegaskan rakyat Palestin yang dipindahkan secara paksa dari utara Gaza termasuk Jabalia, Beit Hanoun dan Beit Lahia hidup dalam keadaan yang sangat sukar di sekitar Bandar Gaza.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.