comscore
Tumpuan :
Dunia

Israel tolak keputusan ICJ, berjanji terus berperang

BAITULMAQDIS: Menteri Israel menolak keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memerintahkan Israel untuk menghentikan operasi ketenteraannya di bandar Gaza selatan, Rafah, dengan berjanji untuk terus berperang untuk membebaskan tawanan dan mengalahkan Hamas.

Keputusan Mahkamah Dunia pada Jumaat itu adalah langkah terbaharu, dalam siri langkah beberapa minggu kebelakangan ini.

Ia sekali gus meningkatkan pengasingan antarabangsa Israel berhubung perang di Gaza, yang sudah membunuh lebih 35,000 rakyat Palestin, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menolak dakwaan dalam kes yang dibawa oleh Afrika Selatan, bahawa Israel sedang melakukan genosid di Gaza sebagai ‘palsu, mengejutkan dan menjijikkan dari segi moral’.

“Israel bertindak berdasarkan haknya untuk mempertahankan wilayah dan warganya, selaras dengan nilai-nilai moralnya dan mematuhi undang-undang antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Ia berkata, operasi di Rafah tidak akan dilakukan dengan cara yang ‘boleh menimbulkan keadaan kehidupan penduduk awam Palestin di Gaza yang boleh membawa kepada kehancuran fizikalnya sepenuhnya atau sebahagian’.

Peperangan itu, yang dicetuskan susulan serangan dilakukan Hamas ke atas komuniti di sekitar Semenanjung Gaza pada 7 Oktober tahun lalu, menyebabkan jurang yang semakin meluas antara Israel dan kebanyakan negara lain di dunia serta ketegangan serius antara kerajaan Netanyahu dan sekutu terdekatnya, termasuk Amerika Syarikat.

Rafah, berhampiran sempadan dengan Mesir, membawa masuk lebih sejuta rakyat Palestin yang dipindahkan dari rumah mereka akibat serangan darat Israel.

Arahan pemindahan dikeluarkan oleh tentera awal bulan ini menyebabkan ratusan ribu mencari perlindungan di kem di tengah Gaza. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini