Tumpuan :
Dunia

Israel tetap tuntut pembebasan tebusan bagi gencatan senjata di Gaza

Bangunan-bangunan terbiar runtuh di Jalur Gaza, ekoran konflik yang berterusan antara Israel dan Hamas, seperti yang kelihatan dari selatan Israel. – FOTO: Reuters

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, membenarkan perunding Israel meneruskan rundingan di Doha dengan meletakkan pembebasan tebusan sebagai tuntutan utama, menurut kenyataan pejabatnya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan tuduhan yang saling dilemparkan oleh Israel dan Hamas baru-baru ini berhubung kelewatan mencapai persetujuan tersebut.

Rundingan tidak langsung dengan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) selaku pengantara telah berlangsung di Doha sejak beberapa minggu kebelakangan ini, menghidupkan kembali harapan gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan yang masih buntu.

Bagaimanapun, pada akhir bulan lalu, kedua-dua pihak saling tuduh menuduh, menyebabkan halangan baharu yang sekali lagi membantutkan pencapaian persetujuan.

“Netanyahu telah meluluskan delegasi profesional dari Mossad (agensi perisikan), IDF (Pasukan Pertahanan Israel) dan ISA (Agensi Keselamatan Dalam Negeri) untuk meneruskan rundingan di Doha,” menurut kenyataan pejabatnya pada Khamis.

Pada Disember, Hamas berkata, rundingan diteruskan ‘dengan serius’, tetapi perunding Israel telah mengemukakan ‘syarat baharu’ yang menyebabkan kelewatan mencapai persetujuan.

Israel pantas menolak tuduhan itu dan menegaskan bahawa Hamas yang mewujudkan ‘halangan baharu’ dalam perjanjian tersebut.

Usaha mencapai perjanjian dalam beberapa pusingan rundingan tidak langsung sebelum ini berulang kali gagal akibat isu-isu utama yang tidak dapat diselesaikan.

Di Israel, pengkritik Netanyahu, termasuk ahli keluarga beberapa tebusan yang masih ditahan di Gaza, menuduh beliau melengah-lengahkan proses tersebut.

Pada November 2023, Israel dan Hamas bersetuju dengan satu-satunya gencatan senjata yang pernah berlaku sepanjang hampir 15 bulan perang.

Gencatan senjata selama seminggu itu menyaksikan 80 tebusan Israel dibebaskan sebagai pertukaran dengan 240 rakyat Palestin yang ditahan oleh Israel, bersama 25 tebusan lain, kebanyakannya pekerja ladang warga Thailand, turut dibebaskan.

Dalam serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, pejuang Palestin yang diketuai Hamas menawan 251 tebusan, di mana 96 orang masih berada di Gaza termasuk 34 yang disahkan mati oleh tentera Israel.

Satu isu utama dalam rundingan sejak gencatan senjata sebelumnya adalah penubuhan gencatan senjata kekal.

Isu lain yang belum diselesaikan ialah pentadbiran Gaza selepas perang, yang kekal kontroversi termasuk dalam kalangan kepimpinan Palestin yang berpecah.

Israel berulang kali menegaskan tidak akan membenarkan Hamas, yang mentadbir Gaza sejak 2007, untuk terus memerintah wilayah pantai kecil itu.

Netanyahu juga menyatakan beliau tidak akan bersetuju dengan pengunduran penuh tentera dari Gaza. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini