JENIN: Pegawai Palestin berkata ratusan penduduk mula meninggalkan rumah mereka di kawasan berbahaya di Tebing Barat pada Khamis ketika tentera Israel terus menjalankan operasi di sana.
Tentera Israel melancarkan serbuan di Jenin, yang merupakan kubu kuat pejuang Palestin, beberapa hari selepas gencatan senjata di Gaza.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyatakan bahawa tujuan operasi “Dinding Besi” itu adalah untuk menghapuskan keganasan di kawasan tersebut.
Beliau juga mengaitkan operasi ini dengan strategi yang lebih besar untuk menentang Iran, yang didakwa menyokong kumpulan bersenjata di seluruh Asia Barat, termasuk Hamas di Gaza.
Israel menuduh Iran cuba menyeludup senjata dan dana kepada pejuang di Tebing Barat.
Dalam pada itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata mereka tidak meminta penduduk mengosongkan kawasan tersebut.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sejak operasi bermula pada Selasa lalu, sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin terbunuh manakala 40 yang lain cedera di sekitar Jenin.
Ketua tentera Israel, Mejar Jeneral Herzi Halevi, berkata serangan ke atas Jenin adalah tindakan yang tepat.
Pada Khamis, tentera Israel mengesahkan mereka membunuh dua pejuang Palestin berhampiran Jenin, yang dituduh membunuh tiga rakyat Israel dalam serangan di Tebing Barat pada 6 Januari lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.