BEIRUT: Israel terus melancarkan serangan udara ke atas kawasan yang dikuasai kumpulan Hizbullah di Beirut untuk hari ketiga berturut-turut hari ini dengan menyasarkan kawasan pinggir selatan ibu kota Lubnan.
Agensi Berita Kebangsaan Lubnan (NNA) melaporkan bahawa lima orang terbunuh dalam serangan udara di bandar Bazourieh dan Jumayjimah.
Selain itu, kepulan asap kelihatan di Beirut ketika serangan berlaku.
Serangan berlaku hingga ke Bint Jbeil di selatan Lubnan dan serangan udara dan bedilan meriam pada waktu malam itu telah menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan dan kompleks kediaman.
Kementerian Kesihatan Lubnan mendakwa, serangan Israel itu telah membunuh sekurang-kurangnya 3,365 orang dan mencederakan 14,344 orang di seluruh Lubnan sejak tercetusnya konflik Israel-Hizbullah.
Rabu lalu, pembantu politik kepada Speaker Parlimen Lubnan Nabih Berri, Ali Hassan Khalil, berkata, perunding Lubnan telah mencapai persefahaman awal dengan utusan khas Amerika Syarikat (AS), Amos Hochstein, mengenai rangka kerja untuk gencatan senjata.
Menerusi temu bual dengan penyiar Al Jazeera, Hassan berkata cadangan berkenaan telah disampaikan kepada pihak Israel melalui Hochstein, walaupun Lubnan masih belum menerima sebarang maklum balas atau cadangan pindaan daripada Israel.
Israel melancarkan serangan besar-besaran terhadap Hizbullah yang disokong Iran sejak akhir September selepas hampir setahun konflik rentas sempadan, seperti peperangan di Gaza. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.