BEIRUT: Lubnan melaporkan seramai 52 lagi mangsa terkorban dalam serangan udara Israel di bahagian timur dan selatan negara terutama di selatan Beirut, semalam.
pada masa sama, Hizbullah mendakwa kumpulannya melancarkan serangan paling jauh ke dalam wilayah Israel dalam tempoh lebih setahun, menyasarkan kawasan selatan Israel.
Lebih 11 bulan pertempuran merentasi sempadan antara Israel dan Hizbullah yang berpunca daripada konflik di Gaza, telah meningkat menjadi perang besar pada September.
Israel melancarkan kempen pengeboman besar-besaran, terutama menyasarkan kubu kuat Hizbullah, dengan menghantar tentera darat ke selatan Lubnan, menyusuli operasi pengeboman udara.
Kenyataan oleh Kementerian Kesihatan memaklumkan, serangan Israel yang menyasarkan daerah Baalbek di Lembah Bekaa, timur Lubnan, mengorbankan 40 orang serta mencederakan 52 yang lain.
Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan melaporkan sepasang suami isteri dan empat anak mereka antara yang terbunuh dalam serangan ke atas rumah di kampung Maqneh.
Mangsa lain adalah pasangan bersama anak perempuan mereka, yang terbunuh dalam serangan berdekatan Nabha, di mana dengan jumlah kematian mencecah 11 orang.
Kementerian turut melaporkan tujuh maut dan 24 cedera dalam serangan Israel di daerah Nabatiyeh di selatan Lubnan, selain lima maut serta 26 cedera ketika serangan di lokasi lain di selatan negara itu.
Di Israel, pasukan penyelamat melaporkan seorang lelaki terbunuh selepas serangan roket dari Lubnan menghentam wilayah Galilee di utara negara itu.
Sementara itu, di pinggir selatan Beirut, NNA melaporkan sekurang-kurangnya 12 serangan berlaku sejak semalam.
Ia berlaku selepas tempoh bertenang sementara ketika duta khas Amerika Syarikat (AS), Amos Hochstein, melawat awal minggu ini untuk cuba berunding mengenai perang antara Israel dan Hizbullah.
Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee, di platform media sosial X, mengeluarkan beberapa amaran pemindahan di kawasan pinggir selatan Beirut serta kawasan di sekitar bandar pantai selatan Tyre, namun tiada amaran dikeluarkan untuk wilayah timur Lubnan.
Rakaman tular menunjukkan kepulan asap tebal dari pinggir selatan Beirut, di mana sebelum ini terdapat kawasan kediaman yang padat penduduk, tetapi kini sebahagian besarnya sudah dikosongkan.
Adraee, di platform X, berkata tentera Israel sudah menyerang depoh senjata, ibu pejabat tentera, dan infrastruktur milik Hizbullah di selatan Beirut.
Dalam siri serangan balas pula, Hizbullah mendakwa pejuangnya menyasarkan pangkalan udara Hatzor berhampiran bandar selatan Israel, Ashdod, kira-kira 150 kilometer (km) dari sempadan selatan Lubnan, dengan serangan serentak peluru berpandu, sekali gus menjadi serangan paling jauh ke dalam israel sejak lebih setahun pertempuran.
Dalam 10 kenyataan berasingan, Hizbullah mendakwa pejuangnya menyerang tentera Israel di sekitar bandar Khiam di selatan Lebanon, menggunakan artileri, roket, dan dron.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.