comscore
Tumpuan :
Dunia

Israel nafikan akses bantuan kemanusiaan di utara gaza untuk hari keempat – PBB

Warga Palestin melarikan diri dari kawasan di utara Jalur Gaza selepas arahan pengosongan dari Israel di Jabalia. –

KANADA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin melaporkan bahawa pihak berkuasa Israel terus menafikan permintaan mengakses kawasan Falouja di Jabalia, utara Gaza untuk hari keempat berturut-turut, menyebabkan penduduk yang terperangkap di bawah runtuhan tidak dapat menerima bantuan, lapor Agensi Anadolu.

Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Timbalan Jurucakap PBB Farhan Haq berkata permintaan untuk menghantar makanan, ubat-ubatan dan bahan api yang diperlukan bagi menggerakkan kemudahan air di Jabalia juga dinafikan oleh Israel.

“Bahan api yang diperlukan untuk menggerakkan sistem bekalan air bersih telah habis, dan penduduk terpaksa mempertaruhkan nyawa untuk mendapatkan air minuman atau meminum air dari sumber yang tidak selamat,” kata Haq.

Beliau turut memberi amaran bahawa “hampir tiada bantuan kemanusiaan yang sampai ke kem pelarian Jabalia,” dan komunikasi di kawasan terbabit sangat terganggu, menyukarkan orang awam untuk mendapatkan bantuan ketika serangan udara dan pengeboman Israel terus berlaku di utara Gaza.

“Dari 6 Okt hingga semalam, OCHA melaporkan bahawa 28 permintaan untuk pergerakan bantuan kemanusiaan terkoordinasi ke Jabalia, Beit Hanoun, dan Beit Lahia—semua di Wilayah Utara Gaza—telah dinafikan oleh pihak berkuasa Israel, manakala tujuh lagi berdepan halangan,” katanya.

Hanya empat daripada 66 misi kemanusiaan yang dirancang melalui pos pemeriksaan Israel dari selatan ke utara Gaza berjaya dilaksanakan dalam 20 hari pertama Oktober.

Minggu lalu, Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean melaporkan bahawa larangan Israel terhadap kemasukan bantuan telah menyebabkan 200,000 penduduk di utara Gaza tanpa bekalan makanan dan air minuman.

Tentera Israel terus melancarkan serangan besar-besaran yang kini memasuki hari ke-17 di utara Gaza, sambil mengenakan kepungan ketat di kawasan berkenaan.

Serangan ini merupakan lanjutan daripada tindakan kejam Israel yang mengorbankan lebih 42,600 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan lebih 99,800 orang sejak 7 Okt tahun lalu.

Perang ini telah menyebabkan hampir keseluruhan penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, sementara sekatan berterusan menyebabkan kekurangan bekalan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan yang semakin kritikal.

Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakan ketenteraannya di Gaza. – BERNAMA-ANADOLU

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini