
TEBING BARAT: Timbalan Gabenor Tulkarem, Faisal Salama, mendakwa tentera Israel sedang “berusaha untuk mengubah ciri dan geografi Kem Tulkarem melalui pemusnahan besar-besaran harta benda Palestin.”
Beliau memberitahu agensi berita Anadolu bahawa kem tersebut sedang mengalami “rancangan pendudukan yang sistematik, di mana jalan-jalan baharu dibuka di atas runtuhan bangunan.”
Salama menyifatkan operasi ketenteraan Israel di Tulkarem sebagai “satu pembantaian dan rancangan haram yang dijalankan di tengah-tengah keheningan dunia Arab dan antarabangsa.”
“Kami sedang hidup dalam keadaan yang amat tragis dan bencana sebenar yang menyasarkan wanita, kanak-kanak, warga emas, serta segala-galanya,” katanya, sambil menambah bahawa hanya 50 keluarga masih bertahan di kem itu tanpa bekalan air dan elektrik.
Semalam sahaja, pengganas Israel memusnahkan 16 rumah di kem tersebut, menjadikannya operasi perobohan terbesar di Tebing Barat sejak bulan lalu.
Sejak 21 Januari, operasi ketenteraan di utara Tebing Barat mengorbankan lebih daripada 55 rakyat Palestin dan menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal, menurut pegawai Palestin. – AL JAZEERA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.