BAITULMAQDIS: Seperti tidak terkesan Israel sekali lagi menolak gencatan senjata dilakukan ke atas Palestin meskipun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai bantuan tidak mencukupi untuk memenuhi ‘keperluan kemanusiaan yang belum pernah terjadi’.
Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu mengesahkan perkara itu semalam dalam taklimat kepada akhbar asing.
Operasi ketenteraan yang semakin giat itu meningkatkan kebimbangan secara mendadak terhadap 2.4 juta penduduk Gaza, yang sudah mengorbankan lebih 8,300 orang.
Netanyahu menyifatkan gencatan senjata adalah seperti menyerah kepada Hamas, yang didakwanya sudah membunuh 1,400 orang dan menjadikan lebih 230 orang sebagai tebusan.
“Gesaan untuk gencatan senjata ialah seruan untuk Israel menyerah kepada Hamas. Ini tidak akan berlaku, kita akan berperang,” katanya yang turut berikrar Israel akan ‘berjuang sehingga menang pertempuran’.
Sekutunya, Amerika Syarikat (AS) juga membantah gencatan senjata.
“Kami tidak percaya gencatan senjata adalah jawapan yang betul sekarang,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby, yang juga berkata bahawa ‘berhenti seketika’ untuk mendapatkan bantuan ke Gaza harus dipertimbangkan.
Israel ketika ini menghantar kereta kebal ke pinggir bandar Gaza, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai krisis kemanusiaan yang semakin meluas.