Tumpuan :
Dunia

Israel luluskan perjanjian gencatan senjata

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. – FOTO: Reuters

TEL AVIV: Kabinet Israel telah meluluskan perjanjian dengan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, untuk melaksanakan gencatan senjata serta pembebasan tahanan di Semenanjung Gaza.

Perkara itu diumumkan pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu hari ini, sehari sebelum perjanjian terbabit dijadualkan bermula.

Dalam mesyuarat yang berlangsung lebih enam jam pada awal pagi tadi, kerajaan Israel mengesahkan perjanjian itu, menurut kenyataan pejabat Netanyahu.

Perjanjian terbabit, yang mendapat tentangan daripada beberapa menteri kanan, termasuk pelaksanaan gencatan senjata selama enam minggu yang dijadual bermula pada Ahad.

Ia akan disusuli dengan pertukaran tahanan antara kedua-dua pihak, yang berpotensi menjadi langkah ke arah menamatkan perang selama 15 bulan di Gaza.

Laporan media menyatakan 24 menteri dalam kerajaan gabungan Netanyahu menyokong perjanjian itu, manakala lapan lagi menolaknya.

Pada Jumaat, Kabinet keselamatan Israel telah meluluskan perjanjian gencatan senjata tersebut, sebagai langkah pertama daripada dua peringkat kelulusan.

Perang antara tentera Israel dan Hamas telah mengakibatkan kemusnahan besar di kawasan bandar Gaza, membunuh lebih 46,000 orang dan menyebabkan kebanyakan daripada 2.3 juta penduduk wilayah itu menjadi pelarian berulang kali.

Jika berjaya, gencatan senjata itu boleh meredakan ketegangan di Asia Barat, di mana konflik Gaza turut melibatkan Iran dan proksinya, termasuk Hizbullah di Lubnan, Houthi di Yaman, kumpulan bersenjata di Iraq, serta Tebing Barat yang diduduki.

Dalam fasa pertama perjanjian tiga peringkat selama enam minggu tersebut, Hamas akan membebaskan 33 tahanan Israel, termasuk semua wanita kanak-kanak dan lelaki berusia lebih 50 tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini