Tumpuan :
Dunia

Israel lancar serangan di Tebing Barat, ragut 9 nyawa

Situasi di bandar Jenin, Tebing Barat selepas serangan berskala besar oleh pasukan keselamatan Israel. FOTO: Reuters

RAMALLAH: Pasukan keselamatan Israel melancarkan serangan berskala besar di bandar Jenin, Tebing Barat, mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan nyawa rakyat Palestin.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan operasi ketenteraan adalah serangan baharu terhadap kumpulan yang disokong Iran.

Tindakan itu dilancarkan sehari selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengisytiharkan menarik balik sekatan ke atas pendatang haram ultranasionalis Israel yang menyerang perkampungan Palestin.

“Kami bertindak secara sistematik dan tegas terhadap proksi Iran di mana sahaja ia membekalkan senjatanya. Di Gaza, Lubnan, Syria, Yemen dan Tebing Barat,” kata Netanyahu.

Operasi di Jenin berlaku hanya dua hari selepas bermulanya gencatan senjata di Gaza.

Tentera berkata pasukannya, polis dan perkhidmatan perisikan sudah memulakan operasi memerangi keganasan di Jenin.

Ia susulan operasi selama berminggu-minggu oleh pasukan keselamatan Palestin di Tebing Barat untuk mengambil semula kawalan di kem pelarian bersebelahan, pusat utama kumpulan bersenjata termasuk Hamas dan Jihad Islam, kedua-duanya mendapat sokongan daripada Iran.

Perkhidmatan kesihatan Palestin berkata sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin terbunuh dan 35 cedera dalam serbuan Israel, yang berterusan sehingga ke malam.

Terdahulu, rejim zionis melancarkan serangan udara di kem pelarian di bandar itu yang mengorbankan sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin dan ramai cedera.

Beberapa hari sebelum operasi ketenteraan Israel di Jenin itu, penduduk Palestin di Tebing Barat memberitahu beberapa sekatan jalan raya dibuat di seluruh wilayah dengan insiden keganasan meningkat semula sejak permulaan perang di Gaza.

Lewat Isnin, sekumpulan pendatang haram Israel menyerang rakyat Palestin, menghancurkan kereta dan membakar harta benda, di sekitar perkampungan al-Funduq, berhampiran Qalqilya, lokasi tiga warga Israel dilaporkan terbunuh dalam tembakan awal bulan ini.

Kira-kira 700,000 pendatang haram Israel tinggal di kalangan 2.7 juta rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, tanah yang ditawan Israel pada 1967.

Kebanyakan negara menganggap penempatan Israel di wilayah yang dirampas dalam peperangan sebagai haram.

Bagaimanapun, Israel menolak tanggapan itu dengan memetik hubungan sejarah mengenai pemilikan tanah itu. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini