TEHRAN: Tentera Israel dilapor menggunakan bom fosforus dalam serangan terbaharunya di utara Semenanjung Gaza.
Israel menggunakan senjata yang dilarang itu dalam serangannya ke atas kem pelarian Jabalia, menyebabkan kebakaran bangunan-bangunan kediaman di kawasan berkenaan, lapor Agensi Berita Iran (IRNA).
Tentera penceroboh juga melakukan serangan di kawasan berhampiran Hospital Nasser di bandar Khan Yunis di selatan wilayah terkepung itu.
Hospital dan kawasan-kawasan berdekatannya di Gaza yang menjadi perlindungan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal telah menjadi sasaran utama serangan udara Israel sejak beberapa minggu lepas.
Selain menyebabkan kematian orang awam dalam jumlah yang besar, serangan udara berkenaan telah menyebabkan hospital tidak lagi berfungsi.
Israel melancarkan serangan berterusan ke atas Gaza sejak 7 Okt tahun lepas, membunuh hampir 25,000 penduduk setakat ini, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Rejim itu juga telah mengenakan sekatan ke atas kemasukan makanan, air dan bekalan asas lain, memburukkan situasi kemanusiaan di Gaza. – BERNAMA-IRNA