Tumpuan :
Dunia

Israel enggan undur tentera dari selatan Lubnan, langgar syarat gencatan senjata

Tentera Israel berkawal di kedudukan mereka di sebelah Israel di sempadan Israel-Lubnan. – FOTO: Reuters

BEIRUT: Tentera Israel masih mengekalkan pasukannya di lima pos tentera di selatan Lubnan, walaupun sudah melepasi tarikh akhir pengunduran yang ditetapkan dalam perjanjian gencatan senjata pada Selasa.

Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Leftenan Kolonel Nadav Shoshani berkata, pasukannya akan kekal di pos tersebut untuk memastikan tiada ancaman kepada penduduk Israel di sana.

Pasukan IDF mengenal pasti beberapa lokasi strategik di selatan Lubnan yang menghadap komuniti di utara Israel.

Shoshani berkata, berdasarkan keadaan semasa, pihaknya akan meninggalkan sejumlah kecil tentera yang ditempatkan sementara di lima titik strategik di sepanjang sempadan.

Pihaknya juga komited terhadap perjanjian gencatan senjata kerana merasakan ia adalah satu proses yang baik.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan sama ada kerajaan Lubnan bersetuju dengan lanjutan itu, sebaliknya mendakwa Israel sudah berbincang dengan pengantara gencatan senjata yang diketuai Amerika Syarikat (AS).

Israel dan Hizbullah menamatkan perang selama setahun pada November lalu, menerusi perjanjian gencatan senjata yang diusahakan sebahagiannya oleh Washington.

Tarikh akhir untuk tentera Israel berundur dari wilayah itu pada asalnya ditetapkan pada Januari lalu, namun dilanjutkan ke 18 Februari atas permintaan rejim berkenaan.

Rata-rata pemimpin Lubnan mengkritik tindakan Israel itu, termasuk speaker Parlimen, Nabih Berri, yang sebelum ini menegaskan penolakan Lubnan berhubung lanjutan tersebut.

Konflik yang berlangsung selama setahun itu berakhir dengan serangan dan kempen pengeboman dahsyat Israel, yang menyebabkan lebih sejuta orang awam Lubnan terpaksa meninggalkan rumah mereka.

Di sebalik gencatan senjata, IDF terus mengebom sasaran Hezbollah, menuduh kononnya kumpulan disokong Iran itu menggunakan tapak ketenteraan yang melanggar perjanjian.- AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini