Tumpuan :
Dunia

Israel dijadual bebas 110 banduan Palestin hari ini

FOTO: Reuters

RAMALLAH: Sebuah kumpulan pembela tahanan Palestin berkata, pihak berkuasa Israel akan membebaskan 110 banduan, termasuk 30 kanak-kanak bawah umur pada Khamis sebagai sebahagian daripada pertukaran di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza yang dipersetujui dengan Hamas.

“Esok (Khamis), 110 banduan Palestin akan dibebaskan,” kata Kelab Tahanan Palestin dalam satu kenyataan, merujuk kepada pertukaran tebusan dan banduan ketiga di bawah gencatan senjata, yang bermula pada 19 Januari.

Kumpulan itu berkata, banduan itu dijangka tiba di kawasan Radana Ramallah, sekitar tengah hari.

Menerbitkan senarai banduan itu, kumpulan itu berkata, 30 daripadanya individu bawah umur 18 tahun, 32 dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, dan 48 yang lain sedang menjalani hukuman penjara dengan tempoh yang berbeza-beza.

Kumpulan itu juga berkata, 20 daripada banduan yang akan dibebaskan akan dibuang negeri.

Dalam dua pertukaran sebelum ini, tujuh tebusan Israel dibebaskan oleh pejuang sebagai pertukaran untuk 290 banduan, hampir semua rakyat Palestin, kecuali seorang warga Jordan.

Pada Khamis, tiga tebusan Israel akan dibebaskan, bersama lima warga Thailand. Tiga tebusan Israel itu ialah Arbel Yehud, Agam Berger dan Gadi Moses. Identiti lima warga Thailand itu masih belum diketahui.

Pertukaran keempat yang dirancang pada Sabtu ini akan menyaksikan tiga lelaki Israel dibebaskan, menurut pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini