WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menyuarakan bantahan terhadap mana-mana pembinaan pangkalan tetap Israel di Semenanjung Gaza, selepas The New York Times melaporkan terdapat pembinaan dengan pantas di wilayah itu oleh tentera Israel.
Jabatan Negara AS tidak dapat mengesahkan laporan akhbar itu, yang mengatakan analisis imej satelit menunjukkan pembinaan pangkalan yang dipertingkatkan disertai perobohan lebih 600 bangunan di tengah Gaza, menunjukkan ‘kehadiran jangka panjang’.
Jabatan Negara menyatakan Setiausaha Negara Antony Blinken pada permulaan perang menyuarakan tentangan terhadap kehadiran tetap Israel di dalam Gaza.
Ditanya mengenainya, jurucakap Jabatan Negara AS, Vedant Patel berkata, “jika ia benar, sudah tentu ia tidak konsisten dengan beberapa prinsip yang ditetapkan oleh Blinken.
“Tidak boleh ada apa-apa pengurangan di wilayah Gaza. Selain itu, tidak boleh ada pemindahan paksa rakyat Palestin dari rumah mereka,” katanya kepada pemberita.
The New York Times memetik jurucakap tentera Israel berkata, tindakan darat diperluas atas sebab operasi dan bangunan boleh dirobohkan dengan pantas.
Presiden Joe Biden menyokong Israel dalam perang tanpa henti di Gaza didakwa sebagai tindak balas kepada serangan 7 Oktober 2023, tetapi pada masa sama turut menyuarakan kebimbangan mengenai nasib orang awam.
Presiden terpilih Donald Trump sudah berikrar untuk sokongan padu untuk Israel sebaik sahaja beliau mengambil alih tugas bulan depan.
Israel terus melancarkan serangan hebat ke atas Gaza, meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut gencatan senjata segera.
Sejak itu, lebih 44,000 orang terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 100,000 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di wilayah terkepung itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.