Tumpuan :
Dunia

Israel angkuh, buat keputusan sendiri untuk lancar serangan atau tidak – Pejabat Netanyahu

Benjamin Netanyahu. – FOTO: Reuters

BAITULMAQDIS: Walaupun mendengar pandangan daripada Amerika Syarikat (AS), tindakan Israel selepas ini akan ditentukan berdasarkan kepentingan nasionalnya, kata Pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu hari ini.

Dalam kenyataan yang disiarkan oleh Washington Post menyatakan Netanyahu memberitahu pentadbiran Presiden AS, Joe Biden bahawa Israel akan menyerang sasaran ketenteraan Iran, bukan menyasarkan loji nuklear atau minyak negara itu.

Kenyataan itu dibuat dalam suasana kemungkinan Israel akan melancarkan serangan sebagai balasan terhadap serangan peluru berpandu Iran ke atas Tel Aviv, 1 Oktober lalu.

Memetik sumber dalam kalangan dua pegawai yang rapat dengan isu terbabit, Washington Post melaporkan bahawa Netanyahu memberitahu pentadbiran Biden mereka bersedia untuk menyerang kemudahan ketenteraan, berbanding kemudahan minyak atau nuklear di Iran.

Ia seperti melakukan tindak balas yang lebih terhad bagi mencegah perang berskala penuh.

Kata seorang pegawai kepada Washington Post, tindak balas itu akan diselaraskan untuk mengelak persepsi terhadap kemungkinan ada campur tangan politik dalam pilihan raya AS.

“Kami mendengar pandangan AS, tetapi kami akan membuat keputusan akhir berdasarkan kepentingan nasional kami,” kata Pejabat Netanyahu dalam kenyataan yang dipetik dalam artikel terbitan Washington Post.

Biden sebelum ini menegaskan, beliau tidak akan menyokong serangan ke atas tapak nuklear Iran dan pasaran minyak pula berada dalam situasi cemas, berikutan prospek serangan Israel terhadap loji minyak Iran.

Terdapat laporan negara Teluk bertindak melobi Washington untuk menghentikan Israel daripada menyerang loji minyak Iran, kerana bimbang kemudahan minyak mereka sendiri tidak terkecuali daripada menjadi sasaran serangan oleh proksi Tehran sekiranya konflik meningkat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini