Tumpuan :
Dunia

Ishiba dilantik semula sebagai PM Jepun, siap sedia bentuk kerajaan minoriti

Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, menerima tepukan selepas dipilih semula sebagai Perdana Menteri, di Dewan Rendah Parlimen di Tokyo, Jepun pada Isnin.

TOKYO: Shigeru Ishiba dilantik semula secara rasmi sebagai Perdana Menteri Jepun pada Isnin melalui proses undian penentuan yang jarang berlaku di Parlimen.

Keputusan itu dicapai dalam suasana gabungan partinya tidak lagi memperoleh majoriti, sekali gus mewujudkan prospek pembentukan kerajaan minoriti yang mungkin memaksanya untuk lebih bertolak ansur dengan tuntutan pembangkang yang semakin berpengaruh, lapor Agensi Berita Kyodo.

Pemilihan semula Ishiba sebagai Perdana Menteri terjadi selepas pengundian pusingan pertama gagal mencapai majoriti 233 undi yang diperlukan di Dewan Perwakilan yang mempunyai 465 ahli.

Dalam pusingan penentuan, Ishiba, yang mengetuai Parti Demokratik Liberal (LDP) berjaya menewaskan Yoshihiko Noda, ketua Parti Demokratik Perlembagaan Jepun (CDPJ), dengan memperoleh 221 undi berbanding 160 undi yang diterima oleh Noda.

Beliau dijangka membentuk barisan Kabinet baharu pada lewat Isnin.

Dengan kerajaan minoriti yang berpotensi dibentuk, gabungan pemerintah Ishiba kini perlu lebih sensitif terhadap kehendak blok pembangkang, yang semakin kuat selepas pilihan raya umum pada 27 Oktober.

CDPJ dan Parti Demokratik untuk Rakyat (DPP) kini memperkukuh kehadiran mereka di dewan perwakilan. DPP, yang menjadi tumpuan kedua-dua pihak, menyaksikan kerusinya meningkat empat kali ganda sejak pilihan raya.

Anggota DPP mengesahkan sejurus sebelum sesi bahawa mereka akan mengundi pemimpin parti itu Yuichiro Tamaki, walaupun terdapat laporan yang mendedahkan dakwaan hubungan sulitnya. Tamaki mengakui bahawa laporan itu sebahagian besarnya adalah benar.

Menjelang sesi Parlimen, gabungan pemerintah menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan DPP dan menyelaraskan dasar-dasar mereka, langkah penting ke arah memastikan kerajaan yang stabil.

Ishiba turut mengadakan perbincangan berasingan dengan Tamaki dan Noda sebelum sesi Parlimen bermula.

“Saya akan mengambil pendekatan ikhlas terhadap semua pihak.

“Penting untuk memastikan Jepun kekal aman dan kehidupan rakyat bertambah baik. Kami sehaluan dalam perkara ini dengan DPP dan CDPJ,” kata Ishiba kepada wartawan.

Blok pembangkang dijangka meningkatkan tekanan ke atas Ishiba untuk melaksanakan pembaharuan politik secara besar-besaran, memandangkan kekalahan LDP dalam pilihan raya sebahagiannya disebabkan kegagalan parti pemerintah untuk memulihkan kepercayaan pengundi berikutan pengendalian dana politik yang tidak wajar.

Ishiba, yang memegang jawatan itu pada Oktober, dijangka melakukan perubahan kecil pada anggota Kabinetnya, terutamanya menggantikan mereka yang tewas dalam pilihan raya.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini