comscore
Tumpuan :
Dunia

Iraq isytihar 3 hari berkabung memperingati Nasrallah

FOTO: Reuters

BAGHDAD: Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia Al Sudani mengarahkan tempoh berkabung di seluruh negara selama tiga hari sebagai penghormatan kepada Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah yang terkorban dalam serangan Israel ke atas Beirut.

Terdahulu, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berkata, Nasrallah telah ‘dihapuskan’ dalam serangan udara Israel ke atas Beirut pada Jumaat. Hizbullah kemudiannya secara rasmi mengesahkan kematian Nasrallah.

“Perdana Menteri Mohammed Shia Al Sudani mengarahkan supaya tempoh berkabung nasional selama tiga hari diisytiharkan di seluruh Iraq.

“Ini sebagai penghormatan kepada pemergian Setiausaha Agung Hizbullah Hassan Nasrallah dan rakan-rakannya, selepas serangan keji Zionis,” kata pejabatnya dalam satu kenyataan, yang dipetik agensi berita Russia, Sputnik.

Israel memulakan kempen pengeboman besar-besaran, dengan nama kod “Northern Arrows”, di bahagian selatan dan timur Lubnan pada Isnin. Kementerian Kesihatan Lubnan meletakkan jumlah korban melebihi 1,500 orang. Hizbullah membalas dengan melancarkan puluhan roket ke arah utara Israel.

Peningkatan ketegangan itu berlaku selepas siri letupan alat kelui dan walkie-talkie yang menggegarkan Lubnan dari 17 hingga 18 September, mengorbankan kira-kira 40 orang dan mencederakan hampir 3,500 yang lain.

Dalam pada itu, Xinhua melaporkan sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh dan 95 lagi cedera pada Sabtu dalam serangan udara Israel di beberapa kawasan di selatan Lubnan, memetik sumber tentera Lubnan.

Sumber tentera yang enggan dikenali itu berkata pesawat dan dron Israel melancarkan kira-kira 90 serangan pada waktu petang, menyasarkan kira-kira 45 kampung dan bandar di selatan Lubnan.

Serangan itu turut memusnahkan beberapa klinik dan pusat pertahanan awam, mengakibatkan 12 orang terbunuh dan 15 lagi cedera, kebanyakan mereka adalah doktor, paramedik, jururawat, dan anggota bomba, menurut sumber itu.

Sejak 8 Oktober 2023, Hizbullah berbalas serangan dengan Israel di sepanjang sempadan Lubnan-Israel sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Konfrontasi antara Hizbullah dan Israel meningkat dengan ketara selepas Israel mengumumkan perubahan tumpuan ketenteraan dari Semenanjung Gaza ke hadapan utara, bertujuan untuk berperang dengan Hizbullah sehingga penduduk utara Israel dapat pulang ke rumah dengan selamat. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini