DUBAI: Kementerian Luar Iran memanggil duta Australia di Tehran selepas negara itu menyatakan pendirian berat sebelah mengenai serangan Iran terhadap Israel baru-baru ini, kata agensi berita Iran, Tasnim.
Serangan peluru berpandu Tehran pada hari Selasa adalah sebagai tindak balas terhadap pembunuhan beberapa pemimpin kumpulan bersenjata yang berpihak kepada Iran.
Duta Australia ke Iran, Ian McConville, dipanggil atas tuduhan berat sebelah berhubung tindakan balas Iran terhadap apa yang disebut oleh Tehran sebagai ‘rejim Zionis’, merujuk kepada Israel.
Bagaimanapun, kata jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangannya, Australia tidak meminta maaf atas pandangannya mengenai tindakan Iran atau tindakan dutanya di Australia.
Tambah jurucakap itu dalam satu kenyataan di Canberra, Australia mengutuk serangan peluru berpandu Iran yang cuai terhadap Israel yang menyebabkan peningkatan ketegangan yang berbahaya dan terus menyeru semua pihak untuk bersikap tenang dan meredakan ketegangan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.