TEHRAN: Beberapa minggu selepas serangan sabotaj yang mengorbankan nyawa di Lubnan didalangi Israel, Iran melarang penggunaan alat kelui dan walkie-talkie di semua penerbangan.
Media tempatan, Isna melaporkan memetik jurucakap Pertubuhan Penerbangan Awam Iran Jafar Yazerlo, kemasukan mana-mana peranti komunikasi elektronik kecuali telefon bimbit ke dalam kabin penerbangan atau dalam kargo tanpa diiringi diharamkan.
Keputusan itu dibuat lebih tiga minggu selepas serangan sabotaj menyasarkan anggota Hizbullah yang bersekutu dengan Iran di Lubnan, menyaksikan alat kelui dan walkie-talkie meletup, meragut sekurang-kurangnya 39 nyawa.
Kira-kira 3,000 mangsa cedera dalam serangan itu.
Awal bulan ini, syarikat penerbangan Emirates yang berpangkalan di Dubai melarang alat kelui dan walkie-talkie di dalam pesawatnya.
Ketegangan di rantau Asia Barat meningkat sejak tercetusnya perang Gaza Oktober tahun lalu.
Konflik membabitkan kumpulan yang bersekutu dengan Iran dari Lubnan, Iraq, Syria dan Yemen.
Beberapa syarikat penerbangan dalam beberapa minggu lalu menggantung penerbangan ke Iran selepas serangan peluru berpandu Tehran ke atas Israel pada 1 Oktober.
Iran melancarkan lebih 200 peluru berpandu ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin pejuang dan seorang Jeneral dalam Pengawal Revolusi Iran.
Susulan itu, Israel melalui Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant menyatakan tekad untuk membalas dendam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.