Tumpuan :
Dunia

Iran lanjutkan penutupan sekolah di Tehran

Sekolah dan bangunan awam di ibu negara Iran kekal ditutup untuk hari ketiga berikutan beberapa loji janakuasa ditutup kerana kekurangan bahan api. – FOTO: Reuters

TEHRAN: Sekolah dan bangunan awam di ibu negara Iran kekal ditutup untuk hari ketiga berikutan beberapa loji janakuasa ditutup kerana kekurangan bahan api, lapor televisyen negara.

Iran adalah gergasi tenaga dan memiliki antara satu rizab gas asli terbesar di dunia, namun ia terpaksa menghadkan penggunaan elektrik dalam beberapa minggu kebelakangan ini serta menutup sekolah dan bangunan kerajaan.

Suhu bawah sifar terus direkodkan di seluruh negara.

Susulan itu, Presiden Masoud Pezeshkian, yang menyokong pengurangan penggunaan bahan api, memohon maaf kepada negara semalam atas kekurangan itu dan berjanji ia akan diselesaikan menjelang tahun depan.

Televisyen negara yang memetik kenyataan kerajaan, berkata disebabkan cuaca sejuk yang berterusan, sekolah, universiti dan pejabat kerajaan di Tehran dan sekitarnya akan ditutup hari ini.

“Sebuah loji berkuasa gas di wilayah Lorestan barat ditutup sebahagiannya semalam, kerana peningkatan penggunaan gas dalam kalangan pengguna isi rumah,” menurut agensi berita negara IRNA.

Tindakan itu menyusuli langkah pada hari Ahad oleh wilayah utara Golestan untuk menutup loji-loji dan menghadkan penggunaan elektrik, menurut media tempatan.

Orang ramai juga terjejas akibat pemadaman elektrik di seluruh negara, termasuk di Tehran.

IRNA berkata, langkah sekatan itu berjaya menjimatkan dua juta meter padu gas dan 100 megawatt elektrik dalam tempoh 24 jam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini