comscore
Tumpuan :
Dunia

Iran ampun, kurangkan hukuman penjara puluhan ribu banduan

Foto: AP

TEHRAN: Pemimpin tertinggi Iran mengampuni atau membenarkan pengurangan hukuman penjara untuk berpuluh-puluh ribu banduan termasuk beberapa yang ditangkap dalam protes anti-kerajaan baru-baru ini.

Lapor Al Jazeera, Ayatollah Ali Khamenei meluluskan pengampunan itu sebagai menghormati ulang tahun Revolusi Islam 1979 dan beliau memegang jawatan sebagai pemimpin politik dan agama negara itu pada 1989.

Menurut butiran yang diumumkan dalam laporan media negara, pengampunan yang diluluskan oleh Khamenei datang dengan beberapa syarat termasuk langkah itu tidak akan terpakai kepada mana-mana banduan dua warganegara yang ditahan di negara berkenaan.

Bagaimanapun, lapor agensi berita IRNA, mereka yang dituduh rasuah iaitu pertuduhan besar yang dikenakan terhadap beberapa penunjuk perasaan di mana empat daripadanya yang dikenakan dihukum mati juga tidak akan diampunkan.

Ia juga tidak akan terpakai kepada mereka yang didakwa mengintip untuk agensi asing atau mereka yang bersekutu dengan kumpulan yang memusuhi republik Islam.

September tahun lalu, Iran berdepan dengan kemelut iaitu protes jalanan berikutan kematian seorang wanita Kurdish Iran, Mahsa Amini yang ditahan polis moral negara itu.

Wanita berusia 22 tahun itu ditahan kerana melanggar peraturan pakaian Islam iaitu tidak memakai hijab.

Namun, rakyat Iran dari semua lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam demonstrasi berkenaan yang secara tidak langsung menandakan salah satu cabaran paling berani kepada kerajaan Iran sejak revolusi 1979.

Menurut Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia, kira-kira 20,000 orang ditangkap berkaitan dengan protes tersebut.

Kumpulan hak asasi manusia itu juga mengatakan lebih daripada 500 terbunuh dalam tindakan keras itu termasuk 70 kanak-kanak bawah umur.

Sekurang-kurangnya empat orang dihukum gantung, menurut badan kehakiman Iran.

Protes dikatakan menjadi perlahan sejak hukuman gantung bermula. – AP

Loading...
Terkini