Tumpuan :
Dunia

Iran adakan rundingan program nuklear bersama Eropah

Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi. – Foto REUTERS

TEHRAN: Iran mengadakan rundingan untuk menghidupkan semula perjanjian nuklear 2015, yang dikenali sebagai Joint Comprehensive Plan of Action (JCPOA) bersama Britain, Perancis, dan Jerman di Geneva pada Isnin lalu.

Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi menegaskan bahawa Iran tidak akan mengadakan perbincangan secara langsung dengan Amerika Syarikat (AS) melainkan Washington kembali menyertai perjanjian tersebut atau mengumumkan dasar yang jelas berhubung perkara itu.

“Dasar kami masih sama. Kami tidak akan berunding dengan AS mengenai isu nuklear sehingga mereka kembali kepada JCPOA atau membuat pendirian rasmi,” katanya.

Rundingan di Geneva itu merupakan kesinambungan daripada perbincangan yang diadakan pada November tahun lalu.

Ketika itu, Iran memaklumkan langkah seterusnya adalah memuktamadkan peta jalan bersama Eropah untuk memberi tekanan kepada AS agar menghidupkan semula atau memutuskan perjanjian nuklear.

AS ketika di bawah pentadbiran bekas Presiden Donald Trump, menarik diri daripada JCPOA pada 2018 dan mengenakan sekatan keras terhadap Tehran.

Araqchi turut menyatakan kebanggaannya terhadap kemampuan pertahanan Iran yang menurutnya tidak bergantung kepada teknologi luar.

“Dalam peperangan, adalah perkara biasa untuk menerima serangan. Tetapi peralatan dan sistem pertahanan kami bukanlah hasil import. Ia dibangunkan oleh anak bangsa sendiri dan akan sentiasa diganti dengan lebih baik, InshaAllah,” katanya.

Rundingan tidak langsung antara pentadbiran Presiden Joe Biden dan Iran sebelum ini gagal mencapai sebarang persetujuan untuk menghidupkan kembali JCPOA. Kebuntuan itu terus menimbulkan ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Trump, yang akan kembali ke pentadbiran, telah berjanji akan meneruskan dasar sekatan keras terhadap Iran.

Pendekatan berkenaan bertujuan menekan Tehran untuk mencapai perjanjian baharu yang merangkumi isu program nuklear, peluru berpandu balistik, dan pengaruh Iran di rantau itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini