Tumpuan :
Dunia

Insiden tikaman di Sydney: Polis tolak unsur ideologi, keganasan

FOTO: Reuters

SYDNEY: Polis Australia menolak insiden tikaman rambang oleh seorang lelaki di pusat beli-belah di bandar ini semalam bermotifkan keganasan mahupun ideologi tertentu.

Asisten Komisioner Anthony Cooke berkata, polis sebaliknya mendapati suspek yang berusia 40 tahun mempunyai masalah kesihatan mental.

“Ini adalah adegan yang mengerikan, namun setakat ini, tiada maklumat yang kami terima dan tiada bukti atau risikan diperoleh, yang menunjukkan kes ini berkait sebarang motivasi, ideologi keganasan atau sebaliknya,” katanya pada sidang media hari ini.

Cooke berkata, polis berhubung dengan keluarga suspek yang identitinya disahkan sebagai Joel Cauchi dan dikenali polis Queensland selepas serangan itu.

Kejadian di pusat beli-belah Westfield Bondi Junction itu mengorbankan lima wanita dan seorang lelaki, serta menyebabkan sekurang-kurangnya 12 cedera termasuk bayi sembilan bulan.

FOTO: Reuters

Polis dimaklum kejadian pada 4 petang waktu tempatan dengan saksi memberitahu melihat suspek berlari sambil memegang pisau dan menyerang orang ramai.

Ada pengunjung dan pekerja pusat beli-belah yang terpaksa menyorok dan berlindung dalam premis berkunci bagi mengelak diserang.

Cauchi kemudian maut selepas ditembak polis wanita yang hadir paling awal di tempat kejadian.

Serangan itu disifatkan insiden yang jarang berlaku di Australia yang mempunyai kira-kira 26 juta penduduk dan terkenal sebagai negara yang mempunyai undang-undang ketat dalam penggunaan senjata api dan pisau.- REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini