JAKARTA: Kerajaan Indonesia komited mempercepat penubuhan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.
Menteri Alam Sekitar Hanif Faisol Nurrofiq, menyatakan perkara itu di Jakarta pada Isnin selepas mesyuarat penyelarasan berhubung hasil Mesyuarat ke-19 Persidangan Pihak-pihak (COP-19) bagi Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP), yang berlangsung di Bangkok, Thailand.
Nurrofiq berkata pengoperasian pusat penyelarasan serantau itu tertangguh kerana menunggu pemeteraian perjanjian mengenai penubuhan pusat itu oleh Thailand, Vietnam dan Filipina.
Dalam mesyuarat berkenaan, republik itu meminta Kementerian Luarnya meneruskan pemeteraian perjanjian penubuhan oleh ketiga-tiga negara melalui Sekretariat ASEAN di Jakarta.
Menteri itu menjelaskan Pusat Penyelarasan ASEAN untuk Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan dijangka dapat membantu Indonesia dan negara anggota ASEAN untuk bekerjasama dalam mengenal pasti langkah yang berkesan untuk menangani pencemaran jerebu rentas sempadan di Asia Tenggara.
Beliau turut memaklumkan pada tahun depan, Kementerian Alam Sekitar akan bekerjasama dengan Sekretariat ASEAN, Kementerian Luar serta kementerian dan agensi berkaitan lain untuk memulakan penubuhan jawatankuasa yang akan mengurus pusat penyelarasan itu.
Ujar beliau dalam mesyuarat COP-19 AATHP, negara ASEAN menyatakan sokongan dan penghargaan terhadap kesediaan Indonesia dalam menangani isu berkaitan pencemaran jerebu rentas sempadan di rantau ini.
Mesyuarat serantau ke-20 dijadualkan berlangsung di Langkawi, Malaysia tahun depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.