JAKARTA: Indonesia sedang bersiap sedia untuk menubuhkan pasukan petugas antipenipuan bagi memerangi berita palsu dan maklumat salah dalam talian semasa Pilihan Raya Wilayah 2024 yang akan diadakan pada November, lapor Xinhua.
Pasukan petugas ini akan bekerjasama dengan platform digital yang banyak digunakan oleh rakyat Indonesia seperti Instagram, Facebook, WhatsApp, YouTube, X, TikTok dan SnackVideo.
“Kami memberi peluang kepada platform-platform ini untuk turut serta secara aktif dalam mencegah penyebaran maklumat palsu berkaitan pilihan raya,” kata Prabu Revolusi, Ketua Pengarah Maklumat Awam dan Komunikasi di Kementerian Komunikasi dan Informatik, semalam.
Walaupun kementerian itu belum mencatatkan peningkatan dalam maklumat palsu setakat ini, ia sedang menyediakan kerjasama dengan platform digital bagi memastikan keadaan yang kondusif menjelang pilihan raya.
Pilihan Raya Wilayah 2024 dijadualkan diadakan serentak di seluruh Indonesia pada 27 November, dengan kementerian memberi tumpuan kepada penyertaan pengundi, isu perkauman, dan meningkatkan kepercayaan awam terhadap demokrasi. – BERNAMA-XINHUA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa