JAKARTA: Indonesia terus menyalurkan bantuan ke Gaza menggunakan dua pesawat yang sarat dengan 21 tan bahan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan, termasuk bekalan perubatan dan peralatan perubatan hospital.
Fasa kedua bantuan dari Indonesia ke Gaza selepas penghantaran pertama dilakukan pada 4 November lalu.
Menurut Presiden Joko Widodo, bantuan bernilai 31.9 bilion rupiah atau AS$2.07 juta itu dibiayai melalui gabungan peruntukan bajet kerajaan dan sumbangan daripada syarikat, orang awam dan organisasi kemanusiaan.
Ujarnya, sama seperti fasa pertama, pesawat akan meneruskan penerbangannya ke Lapangan Terbang El Arish di Mesir dan bantuan itu kemudiannya diedarkan ke Gaza.
Penghantaran bantuan pertama membawa keperluan penduduk Palestin seperti makanan, peralatan perubatan, selimut, khemah dan sokongan logistik.
Dalam pada itu, Jokowi turut menegaskan komitmen Indonesia bukan sahaja menyediakan bantuan kemanusiaan segera malah sebagai sokongan politik berterusan kepada Palestin.
Beliau menegaskan Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi kini berkhidmat sebagai seorang daripada utusan khas Pertubuhan Kerjasama Islam.
Justeru, Retno secara aktif berinteraksi dengan beberapa negara untuk mendapatkan sokongan bagi menghentikan segera keganasan di Gaza, gencatan senjata segera selain penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan.