Tumpuan :
Dunia

Indonesia secara rasmi sertai BRICS

BEIJING: Indonesia kini secara rasmi menjadi anggota penuh BRICS, demi memperkukuh kedudukannya dalam kalangan ekonomi dunia.

Pengumuman itu dibuat oleh Brazil, Pengerusi BRICS 2025, pada Isnin lalu.

Langkah itu menjadikan Indonesia sebahagian daripada blok ekonomi utama dunia yang kini mewakili hampir separuh populasi global dan menyumbang kira-kira 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, menyatakan penyertaan itu mencerminkan kebangkitan kolektif negara-negara membangun yang seiring dengan usaha meningkatkan tadbir urus global.

“BRICS kini menjadi platform penting dalam menggalakkan perpaduan Global Selatan dan mereformasi sistem ekonomi global. Penyertaan Indonesia menambah nilai kepada kerjasama ini,” katanya dalam satu sidang media.

Guo turut menekankan bahawa BRICS telah menyumbang lebih 50 peratus kepada pertumbuhan ekonomi global, menunjukkan peranan pentingnya dalam landskap antarabangsa.

Sebagai ekonomi terbesar di Asia Tenggara, keanggotaan Indonesia dalam BRICS membuka peluang besar untuk memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan, dan kerjasama strategik dengan anggota lain.

Selain Indonesia, negara seperti Malaysia, Kazakhstan, Cuba, dan Bolivia turut menyertai BRICS sebagai rakan kerjasama, menambah daya tarikan platform ini di kalangan negara membangun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini