JAKARTA: Kerajaan Indonesia merancang untuk memperkenalkan peraturan baharu yang menetapkan umur minimum bagi pengguna media sosial sebagai langkah melindungi kanak-kanak, menurut Menteri Komunikasi, Meutya Hafid.
Langkah itu diinspirasikan oleh tindakan Australia yang melarang individu di bawah umur 16 tahun menggunakan media sosial. Di Australia, syarikat teknologi seperti Meta (pemilik Instagram dan Facebook) serta TikTok boleh dikenakan denda jika gagal menghalang akses kanak-kanak ke platform mereka.
Namun, Meutya tidak menyebut secara terperinci umur minimum yang bakal ditetapkan di Indonesia.
Katanya, pelan itu telah dibincangkan bersama Presiden Prabowo Subianto, yang menyatakan sokongan penuh terhadap perlindungan kanak-kanak di ruang digital.
“Kami berbincang mengenai cara terbaik melindungi kanak-kanak dalam dunia digital. Presiden sangat menyokong usaha ini,” katanya dalam video yang dimuat naik di saluran YouTube pejabat presiden pada Isnin.
Menurut data Persatuan Penyedia Perkhidmatan Internet Indonesia, penembusan internet di negara berpenduduk sekitar 280 juta orang itu mencapai 79.5 peratus tahun lalu.
Malah, kajian ke atas 8,700 responden mendapati hampir separuh kanak-kanak bawah 12 tahun mempunyai akses internet, dengan ramai menggunakan platform seperti Facebook, Instagram, dan TikTok.
Selain itu, penembusan internet dalam kalangan Generasi Z di Indonesia (berumur 12 hingga 27 tahun) mencapai 87 peratus, menunjukkan kebergantungan tinggi golongan muda terhadap teknologi digital.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.