Tumpuan :
Dunia

Indonesia perkukuh keselamatan menjelang Krismas dan Tahun Baharu

FOTO: Reuters

INDONESIA: Polis Indonesia (Polri) memperhebat langkah keselamatan menjelang sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2025 dengan memberi tumpuan khusus terhadap ancaman keganasan.

Semua anggota keselamatan, termasuk unit elit antikeganasan Densus 88, telah dikerahkan untuk memastikan keselamatan sepanjang musim perayaan, selain memperketat pengawasan terutama ketika sambutan berlangsung.

“Kami memantau rapi situasi keselamatan pada saat-saat kritikal ini,” kata Ketua Polis Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo dalam kenyataan selepas mesyuarat penyelarasan merentas sektor mengenai persiapan keselamatan di Jakarta Selatan pada Isnin.

Beliau turut memaklumkan bahawa Densus 88 akan bekerjasama rapat dengan Agensi Perisikan Negara (BIN), Agensi Perisikan Strategik (BAIS), dan Agensi Perangi Keganasan Kebangsaan (BNPT) bagi memperkukuh usaha mencegah serta menangani ancaman keganasan.

Langkah-langkah keselamatan turut diambil membabitkan 61,452 lokasi termasuk gereja, pusat beli-belah dan lokasi pelancongan, selain mendirikan 2,794 pos keselamatan di seluruh Indonesia sebagai sebahagian daripada ‘Operasi Lilin’ sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu.

Polri juga bersiap sedia menghadapi lonjakan pergerakan rakyat sempena mudik (tradisi pulang ke kampung halaman) tahunan, dengan kira-kira 110.6 juta orang dijangka melakukan perjalanan.

Waktu puncak pergerakan dijangka berlaku pada 21 dan 28 Dis.

“Dengan penugasan anggota dan kerjasama erat bersama semua pihak berkepentingan, kami berharap sambutan kali ini akan berjalan lancar serta orang ramai berasa selamat dan selesa,” kata Listyo. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini