Tumpuan :
Dunia

Indonesia-Arab Saudi runding fleksibiliti umur jemaah haji

Foto hiasan

JAKARTA: Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Nasaruddin Umar dalam proses rundingan diplomatik dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi memohon fleksibiliti berhubung penetapan umur jemaah yang ingin menunaikan ibadat haji.

Dasar semasa republik itu menetapkan had umur maksimum sekitar 90 tahun.

Nasaruddin berpendirian, kriteria kelayakan menunaikan haji dibuat berasaskan kesihatan dan bukannya had umur yang ketat.

Ia sejajar dengan keputusan Presiden Indonesia Nombor 6 Tahun 2025, yang mengutamakan kecergasan daripada segi kesihatan dalam menentukan kelayakan seorang jemaah.

Sehingga 3 Mac lalu, kira-kira 165,613 atau 82.37 peratus daripada jumlah keseluruhan jemaah haji Indonesia memenuhi syarat kesihatan ditetapkan untuk berangkat ke Tanah Suci.

Nasaruddin menekankan pendekatan ini ketika perbincangan dengan pegawai Arab Saudi.

Nasaruddin berkata, perbincangan dengan Kementerian Haji dan Kesihatan Arab Saudi membawa kepada pemahaman bersama mengenai sistem kelayakan berasaskan kesihatan.

Jika diterima, peralihan dasar membenarkan jemaah haji warga emas yang sihat untuk menunaikan haji tanpa berdepan sekatan berdasarkan umur.

Kira-kira 221,000 rakyat Indonesia bersedia untuk menunaikan haji tahun ini.

Arab Saudi turut membenarkan Indonesia yang juga negara dengan jumlah populasi umat Islam terbesar di dunia, menghantar 2,210 pegawai sepanjang musim haji.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini