![](https://media.buletintv3.my/2022/10/F7LBDs5j-pp-cms-93.jpg)
JAKARTA: Indonesia akan merobohkan dan membina semula stadium bola sepak, yang menyaksikan tragedi rempuhan mengorbankan lebih 130 nyawa pada bulan ini, kata Presiden Joko Widodo, hari ini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Jokowi, berikrar untuk melakukan perubahan menyeluruh terhadap sukan bola sepak yang digilai di negara itu.
“Stadium Kanjuruhan di Malang… kita akan robohkan dan bina semula mengikut piawaian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu Presiden FIFA, Gianni Infantino di istana negara, hari ini.
Polis dipersalahkan atas insiden rempuhan maut selepas perlawanan liga di bandar Malang pada 1 Oktober lalu, selepas tindakan pasukan itu melepaskan gas pemedih mata di stadium, satu langkah kawalan orang ramai yang dilarang FIFA.
Jokowi berkata, beliau bersetuju dengan Infantino berhubung perubahan besar terhadap cara sukan itu diuruskan di Indonesia.
“Kami bersetuju untuk secara menyeluruh mengubah bola sepak Indonesia. Setiap aspek persiapan perlu berdasarkan piawaian FIFA,” katanya.
Pertemuan antara Jokowi dan Infantino itu diadakan selepas Indonesia dan FIFA bersetuju untuk membentuk satu pasukan petugas bersama, susulan tragedi di stadium itu dan ketika negara itu bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia bawah 20 tahun pada tahun depan.
Sementara itu, Infantino berkata, keutamaan pertama FIFA adalah memastikan keselamatan pemain dan peminat di negara Asia Tenggara itu.
“Ini adalah negara bola sepak, sebuah negara di mana bola sepak menjadi minat lebih 100 juta orang.
“Kita berhutang kepada mereka, yang mana apabila mereka melihat perlawanan, mereka selamat dan terjamin,” katanya. – BERITA HARIAN / REUTERS