Tumpuan :
Dunia

Indonesia adakan mesyuarat Kabinet pertama di IKN

Jokowi bersama Naib Presiden, Dr Ma’ruf Amin ketika mesyuarat Kabinet di Ibu Kota Nusantara

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali Jokowi hari ini mengadakan mesyuarat Kabinet pertama di Ibu Kota Nusantara (IKN).

Sebelum menamatkan penggalnya pada Oktober depan, Jokowi berusaha meyakinkan para pelabur asing bahawa projek mega yang bernilai AS32 bilion (RM142 bilion) itu sentiasa berada di landasan yang tepat.

Ia berikutan Nusantara berdepan beberapa cabaran termasuk kelewatan pembinaan projek selain kekurangan jumlah pelabur asing.

Nusantara akan menggantikan peranan Jakarta sebagai pusat pentadbiran pemerintah selain membantu mengurangkan kesesakan di kota besar itu yang kini semakin padat dengan penduduknya.

“IKN adalah kanvas yang boleh kita lakar untuk masa depan. Tidak semua negara mempunyai peluang atau keupayaan untuk membina model kota baharu daripada sifar,” katanya ketika ditemui di Istana Garuda.

Pusat pentadbiran baharu itu dibina di atas hutan luas yang terletak di antara dua kawasan di Kalimantan Timur iaitu Kutai Kartanegara dan Penajam Paser Utara.

Ibu kota baharu Indonesia itu mencapai luas lebih 256,000 hektar atau sekitar empat kali ganda saiz kota Jakarta atau tiga kali ganda saiz Singapura.

“Saya yakin pelabur asing akan datang melabur dan bakal presiden, Probowo Subianto akan terus komited dengan projek sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, Probowo memberitahu akan meneruskan projek yang diamanahkan kepadanya meskipun ia akan mengambil masa yang panjang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini