SRINAGAR: Pihak berkuasa di wilayah Jammu dan Kashmir sedang menyiasat penyakit misteri yang sehingga kini meragut sekurang-kurangnya 17 nyawa.
Media tempatan melaporkan, kematian itu termasuk 13 kanak-kanak di sebuah kampung terpencil Badhaal di kawasan Rajouri, Jammu sejak awal Disember lalu.
Agensi berita Press Trust of India (PTI), melaporkan kampung itu diisytihar zon berkurung awal minggu ini, dengan kira-kira 230 orang dikuarantin.
Pakar dari kolej perubatan Rajouri, berkata Amarjeet Singh Bhatia berkata, kesemua kematian menunjukkan kerosakan pada otak dan sistem saraf.
Setakat ini, mangsa adalah ahli daripada tiga keluarga yang berkaitan.
Kerajaan Persekutuan turut melancarkan siasatan, dengan Menteri Kesihatan, Jitendra Singh yang mengatakan, siasatan awal menunjukkan kematian ‘bukan disebabkan oleh sebarang jangkitan, virus atau bakteria tetapi sebaliknya berpunca daripada toksin’.
Dalam kes perubatan berasingan, pihak berkuasa di bandar barat Pune mengesan sekurang-kurangnya 73 kes gangguan saraf yang jarang berlaku.
Mereka dijangkiti Sindrom Guillain-Barre (GBS), membabitkan 26 wanita dengan 14 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), GBS adalah penyakit sistem imun yang menyerang saraf periferal.
Ia mampu menjejaskan saraf yang mengawal pergerakan otot dan boleh menyebabkan kelemahan otot, kehilangan rasa di kaki atau lengan dan mereka yang dijangkiti berdepan masalah menelan serta dan bernafas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.