KARACHI: Mahkamah Pakistan pada Khamis mendakwa bekas Perdana Menteri, Imran Khan, yang sedang dipenjara dalam kes berkaitan serangan terhadap ibu pejabat tentera tahun lepas, lapor Agensi Anadolu (AA), memetik rekod mahkamah.
Imran dan sekitar 100 pekerja serta pemimpin parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) yang dipimpinnya, mengaku tidak bersalah.
Menurut pihak pendakwaan, ratusan penyokong PTI menyerbu ibu pejabat tentera, yang dikenali sebagai GHQ, di bandar garison di timur laut Rawalpindi, pada Mei tahun lalu berikutan penahanan singkatnya dalam kes rasuah. PTI menafikan pertuduhan itu.
Imran, 72, kini dipenjarakan di Rawalpindi atas pelbagai tuduhan termasuk rasuah dan keganasan.
Sementara itu, pihak berkuasa Pakistan pada Khamis memaklumkan bahawa polis mengemukakan 14 kes baharu terhadap Imran berikutan perhimpunan yang dianjurkan oleh partinya di ibu negara, Islamabad, pada November.
Semasa pendengaran bagi petisyen yang difailkan oleh adik perempuan Imran, Noreen Niazi, di Mahkamah Tinggi Islamabad untuk mendapatkan butiran terkini mengenai kes yang difailkan terhadap abangnya, polis Islamabad memberitahu mahkamah bahawa sejumlah 76 kes telah didaftarkan di ibu negara.
Sejumlah 14 kes baharu difailkan berikutan perhimpunan pada 24 November yang diadakan di Islamabad, tambah polis.
Imran kini berhadapan kira-kira 130 kes selepas polis di wilayah Punjab memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Lahore bahawa 54 kes telah didaftarkan terhadap bekas perdana menteri di wilayah itu.
Sementara itu, pembantu Imran dan ketua pembangkang parlimen Omer Ayub, juga telah ditangkap di Rawalpindi.
Bekas bintang kriket itu mengadakan perhimpunan di Islamabad untuk menuntut pembebasan tahanan politik, siasatan mengenai dakwaan penipuan pilihan raya serta pembatalan perubahan dalam badan kehakiman.
Ribuan penyokong Imran dan pekerja PTI tiba di Islamabad tetapi mereka diusir oleh kerajaan melalui operasi keselamatan.
Pengerusi sementara PTI Gohar Khan mendakwa sekurang-kurangnya ‘12 penunjuk perasaan terkorban dan 12 yang lain cedera’ semasa operasi itu.
Namun, kerajaan menolak dakwaan PTI dan menyatakan: “Tiada individu yang terkorban” semasa operasi itu.
Sekurang-kurangnya empat anggota keselamatan, termasuk tiga renjer separa tentera dan seorang anggota polis terkorban apabila dilanggar oleh sebuah kenderaan.
Kerajaan menyalahkan PTI atas kematian itu manakala PTI menafikan pekerjanya terlibat dalam kemalangan tersebut.
Susulan itu, polis Islamabad mendaftarkan beberapa kes terhadap Imran, isterinya Bushra Bibi, Ketua Menteri Khyber Pakhtunkhwa Ali Amin Gandapur dan pemimpin kanan PTI yang lain.
Ratusan penyokong PTI ditangkap semasa operasi itu.
Selain itu, sebuah mahkamah khas juga telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Bushra Bibi dalam kes baharu Toshakhana (hadiah negara) kerana ‘gagal hadir di mahkamah dalam 10 perbicaraan yang lalu’.
Imran telah digulingkan melalui usul tidak percaya yang berjaya pada April 2022, lebih sedikit daripada setahun sebelum tamat tempoh lima tahun mengikut Perlembagaan. – BERNAMA-AA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.