GENEVA: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa kerajaan-kerajaan melaksanakan insentif dasar yang lebih kukuh untuk mempercepat pengeluaran Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).
Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata kerajaan boleh mempercepatkan kemajuannya dengan menghentikan subsidi pengeluaran bahan api fosil dan menggantikannya dengan insentif pengeluaran strategik dan dasar yang jelas.
Ini, katanya, akan menyokong masa depan yang dibina berdasarkan tenaga boleh baharu termasuk SAF.
“Sudah ada model untuk diikuti dengan peralihan kepada tenaga angin dan solar. Berita baiknya ialah peralihan tenaga, yang termasuk SAF, hanya memerlukan kurang daripada separuh pelaburan tahunan yang menjana pengeluaran angin dan solar pada skala diperlukan.
“Dan sebahagian besar daripada pembiayaan yang diperlukan boleh direalisasikan dengan mengalihkan sebahagian daripada subsidi retrograde yang kerajaan berikan kepada industri bahan api fosil,” kata Walsh pada Hari Media IATA Global 2024.
Beliau berkata pengeluaran SAF dijangka mencecah 2.1 juta tan (2.7 bilion liter) atau 0.7 peratus daripada jumlah pengeluaran bahan api jet dan 13 peratus kapasiti bahan api boleh baharu global pada 2025.
Pada 2024, volum SAF meningkat namun agak perlahan memandangkan volum pengeluaran SAF mencecah satu juta tan (1.3 bilion liter), dua kali ganda daripada 0.5 juta tan (600 juta liter) yang dihasilkan pada 2023.
Sementara itu, naib presiden kanan kemampanan dan ketua ahli ekonomi IATA Marie Owens Thomsen berkata penyahkarbonan industri penerbangan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada peralihan tenaga global, bukan dikategorikan sebagai isu pengangkutan.
“Dengan menyelesaikan cabaran peralihan tenaga untuk penerbangan, ia juga akan memberi manfaat kepada ekonomi secara meluas, kerana penapisan bahan api boleh baharu akan menghasilkan pelbagai jenis bahan api yang digunakan oleh industri lain.
“Kita memerlukan seluruh dunia menghasilkan tenaga boleh baharu sebanyak mungkin untuk semua orang. Syarikat penerbangan hanya mahu mengakses bahagian mereka daripada output itu,” katanya. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.