EDINBURGH: Humza Yousaf, calon Islam pertama pemimpin parti politik utama di Britain, dijangka mengangkat sumpah selaku Menteri Utama (Ketua Menteri) Scotland hari ini.
Isnin lalu, beliau menang dalam persaingan untuk menjadi pemimpin baru Scotland, individu paling muda dan pertama dari latar belakang kaum minoriti, diberi tanggungjawab memulihkan gerakan bagi mencapai kemerdekaan Scotland.
Yousaf bakal menghadapi perjuangan sukar untuk mengembalikan hasrat Scotland menuntut kemerdekaan, yang kurang diberi keutamaan di bawah kepimpinan sebelum ini di bawah Nicola Sturgeon.
Yousaf menang dengan meraih 52 peratus undi daripada anggota Parti Kebangsaan Scotland (SNP), dalam persaingan sengit berikutan peletakan jawatan secara mengejut oleh Sturgeon, pada Februari.
Beliau juga adalah pemimpin Scotland paling muda, memegang jawatan beberapa bulan selepas Rishi Sunak menjadi Perdana Menteri Britain paling muda dalam sejarah moden negara itu, apabila beliau melangkah ke Downing Street pada usia 42 tahun.
Anak kelahiran Glasgow itu mengucapkan sumpah dalam bahasa Inggeris dan Urdu, semasa pertama kali dipilih menjadi Anggota Parlimen Scotland pada 2011, sebelum maju menjadi orang Islam pertama berkhidmat dalam Kabinet negara itu.
Yousaf, 37 tahun, berikrar untuk meneruskan perjuangan SNP bagi mendapatkan kemerdekaan bagi Scotland.
Tambah beliau, ‘keutamaan segera’ adalah melindungi rakyat Scotland daripada krisis sara hidup dan memulihkan perkhidmatan awam.
Beliau, yang pernah menjadi Menteri Kesihatan dalam Kabinet Sturgeon, menang tipis ke menewaskan Menteri Kewangan, Kate Forbes, untuk menjadi pemimpin SNP, manakala mantan menteri Kabinet, Ash Regan, di tempat ketiga.