EDINBURGH: Setiausaha Kesihatan Scotland, Humza Yousaf diumumkan selaku pemimpin baharu Parti Nasional Scotland, SNP bagi menggantikan bekas pemimpin yang juga bekas Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon.
Beliau menewaskan dua lagi calon utama parti, Kate Forbes dan Ash Regan ketika pengumuman rasmi dilakukan di Stadium Murrayfield, Edinburgh.
Keputusan menyaksikan Humza, 37 tahun bakal menjadi pemimpin berketurunan Islam pertama yang mengetuai salah sebuah parti utama di United Kingdom.
Dalam proses undian yang dilakukan secara dua pusingan, Regan diumumkan tersingkir pada pusingan pertama manakala Humza meraih undian 26,032 undi berbanding Forbes, 23,890 undi.
Beliau kini perlu melalui satu lagi proses pengundian iaitu proses undian dalam kalangan ahli Parlimen Scotland esok dan hanya boleh disahkan selaku Menteri Pertama Scotland yang baharu jika majoriti memihak kepadanya.
Scotland kini tanpa Menteri Pertama dalam tempoh sebulan selepas Nicola Sturgeon mengumumkan peletakan jawatannya setelah lebih 8 tahun berkhidmat pada bulan lalu.