JAKARTA: Projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang menjadi sebahagian daripada insiatif ‘Satu Jalur, Satu Jalan’ China, menimbulkan kebimbangan mengenai tahap keselamatan, keuntungan dan aksesibiliti.
Memetik laporan Nikkei, perkhidmatan yang dijadual bermula Julai depan, lewat sebulan seperti dirancang membabitkan landasan kereta api sejauh 142 kilometer (km) yang menghubungkan Jakarta dengan Bandung di wilayah Jawa Barat.
Pada pertengahan Disember lalu, sebuah kereta api penyelenggaraan dan lokomotif tergelincir daripada rel dalam satu kejadian di tapak pembinaan berhampiran Bandung.
Kemalangan mengakibatkan dua pekerja warga China terbunuh dan mencetuskan kegusaran mengenai tahap keselamatan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi di republik berkenaan.
Menjelaskan mengenai kemalangan itu, seorang pegawai kanan kerajaan Indonesia berkata, masalah brek lokomotif dan kesilapan manusia turut menjadi sebahagian punca.
Menurut Jakarta dan Beijing, kemalangan itu tidak membawa ancaman terhadap tahap keselamatan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi di Indonesia.
Perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi yang diberi nama Kereta Cepat Indonesia China (KCIC), adalah sebuah konsortium yang dipertanggungjawab menjalankan projek terbabit dan dibiayai oleh operasi kereta api milik kerajaan iaitu Kereta Api Indonesia (KAI) dan organisasi lain.
Pembinaan projek berkenaan akan bersambung semula sebelum dapatan siasatan dijalankan oleh kerajaan mengenai kemalangan itu diterbitkan. – BERITA HARIAN