YEMEN: Kumpulan Houthi mendakwa telah menyasarkan tiga kapal bekalan dan dua kapal pemusnah Amerika Syarikat di Teluk Aden, kata jurucakap tentera Houthi.
Dalam satu kenyataan televisyen, jurucakap tentera kumpulan itu, Yahya Sarea, berkata kapal-kapal tersebut diserang selepas meninggalkan pelabuhan Djibouti, setelah terlibat dalam pencerobohan terhadap Yemen sebelum ini.
Jurucakap itu menegaskan bahawa operasi tersebut adalah sebahagian daripada komitmen Houthi untuk menyokong kumpulan Palestin.
“Angkatan Tentera Yemen (Houthi) akan terus melaksanakan operasi sokongan mereka untuk Palestin dan operasi pertahanan untuk Yemen sehingga pencerobohan di Jalur Gaza dihentikan dan sekatan ditarik semula,” katanya.
Gerakan Houthi yang bersekutu dengan Iran dan menguasai utara Yemen telah melancarkan serangan, terutamanya terhadap kapal-kapal global, selama lebih setahun sebagai tanda solidariti dengan Palestin dalam perang antara Israel dan Hamas. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.