Tumpuan :
Dunia

Houthi lancar serangan di pelabuhan penting milik Israel

FOTO: Reuters

SANAA: Tentera Houthi telah melancarkan serangan udara terhadap sasaran penting di bandar pelabuhan Laut Merah Israel, Eilat, menggunakan beberapa buah pesawat tanpa pemandu (drone), kata jurucakap kumpulan itu, Yahya Saree

Yahya menyatakan bahawa serangan itu adalah sebahagian daripada operasi ketenteraan yang lebih besar dan berjaya mencapai objektifnya.

Katanya, serangan itu menumpukan kawasan Umm al-Rashrash, yang dikenali dengan nama Eilat di selatan Israel.

“Tentera Udara Angkatan Tentera Yaman (Houthi) telah melaksanakan operasi ketenteraan yang menyasarkan sasaran penting musuh Israel di kawasan Umm al-Rashrash, selatan Palestin yang dijajah, menggunakan beberapa buah drone. Operasi ini berjaya mencapai matlamatnya dengan izin Allah,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan media tempatan.

Yahya turut menekankan sokongan penuh tentera Houthi terhadap rakyat Palestin dan Lubnan yang terus berjuang menghadapi serangan Israel.

“Kami memberi penghormatan kepada keteguhan rakyat Palestin dan Lubnan dalam menghadapi pencerobohan Israel dan menegaskan bahawa operasi ketenteraan kami akan diteruskan terhadap musuh Israel,” katanya.

Serangan itu adalah sebahagian daripada siri serangan yang dilancarkan Houthi sejak awal November, bertujuan untuk menunjukkan solidariti dengan rakyat Palestin dalam perang yang sedang berlaku antara Israel dan Hamas.

Selain itu, serangan berkenaan tertumpu di kawasan lalu lintas perkapalan antarabangsa di Laut Merah, dengan beberapa serangan menyebabkan gangguan terhadap perdagangan global dan memaksa pemilik kapal untuk mengubah laluan mereka jauh dari terusan Suez yang penting.

Tentera Houthi, yang mempunyai hubungan rapat dengan Iran, telah mempamer komitmen mereka untuk meneruskan sokongan terhadap Palestin dan menentang Israel melalui tindakan ketenteraan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini