SANAA: Kumpulan pejuang Houthi mendakwa melancarkan tiga serangan ketenteraan ke atas kapal-kapal dagang di Laut Merah dan Laut Arab sebagai sebahagian daripada usaha berterusan mereka menguatkan sekatan maritim terhadap Israel.
Jurucakap Tentera Houthi, Yahya Sarea, mengesahkan operasi tersebut dalam satu sidang media.
“Serangan pertama menyasarkan kapal SC Montreal di Laut Arab menggunakan dua dron yang mencapai sasaran dengan tepat.
“Operasi kedua pula melibatkan peluru berpandu jelajah yang menyerang kapal Maersk Kowloon di Laut Arab, manakala serangan ketiga, melibatkan beberapa peluru berpandu balistik, dilancarkan ke atas kapal Motaro di perairan Laut Merah dan Bab al-Mandab,” katanya.
Sarea juga menjelaskan bahawa ketiga-tiga kapal itu disasarkan kerana pemiliknya didakwa melanggar larangan memasuki pelabuhan di wilayah Palestin yang diduduki Israel.
Serangan itu, menurutnya, menunjukkan komitmen Houthi untuk terus melancarkan operasi terhadap Israel sehingga sekatan ke atas Gaza ditamatkan dan serangan ke atas Lubnan dihentikan.
Bagaimanapun, Serangan Houthi itu dikhuatiri meningkatkan lagi ketegangan di rantau tersebut, terutama ketika tuduhan Amerika Syarikat bahawa Iran menjadi penyokong utama dan pembekal senjata kepada Houthi.
Washington sebelum ini mendakwa senjata dari Iran digunakan Houthi untuk melancarkan serangan ke atas kapal dagang di Laut Merah serta sasaran di Israel, sebagai tanda sokongan terhadap rakyat Palestin dalam konflik yang sedang berlangsung di Gaza.
Namun, Iran menafikan sebarang pembekalan senjata kepada Houthi, menyatakan bahawa mereka tidak terlibat secara langsung dalam serangan tersebut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.